7/17/2012

MESTI TONTON: Inspirasi Ali & Zahra dlm Children of Heaven

Salam,

Photobucket

Children Of Heaven! Pernah anda tonton filem hebat ini? Kali pertama tengok filem ni, hati saya sangat tersentuh. Seperti tersentuhnya hati Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sebagai menyatakan reaksinya setelah menonton filem karya pengarah terkenal dari Iran, Majid Majidi, ini di satu program Kelantan satu ketika dulu.
“Saya bukan orang yang suka menonton filem. Tapi malam ini saya menonton ‘Children of Heaven’ daripada awal hingga akhir, ekoran penulis skrip filem ini berjaya mengheret masyarakat menyelami nilai moral & kemanusian. Filem ini boleh membuatkan sesiapa menontonnya menitis air mata.”
Saya rasa filem ini perlu ditonton semua. Banyak yang boleh diteladani & dipelajari dari filem ini. Filemnya nampak murah namun pengisiannya sangat besar & mahal dari sudut lakonan, pengajaran, mesej & nilai-nilai kehidupan yang cuba diterapkan dalam filem ini.

Filem Iran arahan Majid Majidi ini telah menerima banyak anugerah di peringkat antarabangsa termasuk Anugerah Filem Terbaik di Montreal International Film Festival. Majid Majidi, anak kelahiran Teheran merupakan antara sebilangan pengarah filem Iran yang berjaya mencipta nama, sekali gus mengetengahkan tema, genre & gaya arahannya yang dikagumi serta diiktiraf hingga ke dunia perfileman Hollywood. Menariknya, pengarah berusia 48 tahun ini mempunyai pendekatannya yang tersendiri dalam menghasilkan filem-filem ‘berjiwa besar’ sesuai dengan latar belakang negara di bawah pemerintahan Islam yang diwakilinya itu.

Filem ini mengisahkan tentang dua orang adik beradik, Ali & Zahra yang hidup bergelut kemiskinan di satu kawasan di selatan Tehran, Iran.

Dalam Children Of Heaven, motif Ali bagi mendapatkan sepasang kasut sukan baru demi menggantikan kasut adiknya Zahra yang hilang, membuatkan Ali sanggup beraksi dalam sukan lumba lari di sekolahnya. Matlamatnya hanya satu, iaitu mendapatkan hadiah di tempat ketiga, bukan tempat pertama atau kedua, kerana hadiah kasut sukan itu hanya dikhaskan untuk pemenang tempat ketiga!

Kasut Zahra hilang semasa Ali membawanya ke pekan untuk dibaiki. Kehilangan kasut itu membuatkan Zahra sangat sedih, kerana itulah satu-satunya kasut yang Zahra ada untuk dipakai ke sekolah. Kemiskinan yang mencengkam keluarga mereka pula membuatkan Ali & Zahra berat hati memberitahu bapa mereka tentang kehilangan kasut itu. Mereka sedar, jika bapa mereka tahu tentang kehilangan kasut itu, beliau akan berhutang dengan sesiapa sahaja untuk membeli kasut baru buat Zahra.

Lalu, demi tidak mahu menyusahkan bapa mereka, kedua beradik yang murni hatinya itu telah membuat satu rancangan, iaitu mereka akan bergilir-gilir memakai kasut Ali ke sekolah. Oleh kerana Zahra bersekolah sesi pagi manakala Ali pula bersekolah sesi petang, maka Zahra akan memakai dahulu kasut tersebut, dan kemudian akan pulang cepat-cepat agar Ali dapat memakai pula kasut itu ke sekolah. Mereka berjanji akan bertemu di sebuah lorong berparit yang sunyi, dan di lorong itulah, parit-parit & dinding-dinding batu menjadi saksi betapa lajunya Zahra memecut lari untuk menyerahkan kasut yang dipakainya kepada Ali, dan betapa lebih laju pula Ali memecut lari agar tidak tiba lewat ke sekolah. Subhanallah, hati saya begitu tersentuh melihat kesusahan yang dihadapi oleh kedua-dua beradik itu.

Kisah mereka semakin menarik, apabila guru sukan sekolah Ali mengumumkan tentang satu pertandingan lumba lari yang menjanjikan hadiah menarik untuk para pemenang, dan salah satu daripada hadiah tersebut ialah kasut sukan untuk pemenang di tempat ketiga!

Kesusahan bukan alasan untuk Ali dan Zahra duduk merintih dan mengenang nasib. Berbekalkan semangat yang kental dan senyuman harapan Zahra, Ali menyertai pertandingan itu dengan satu harapan, iaitu memenangi tempat ketiga & membawa pulang hadiah kasut sukan untuk Zahra.

Kesudahan filem arahan Majid Majidi ini mempunyai kelainan & tidak streotype. Saya tertanya-tanya akan kesudahan cerita ini, apabila mendapati di akhir pertandingan, Ali gagal mendapat tempat ketiga seperti yang dirancangkan. Menariknya pula, dia tidak dapat mengawal kelajuannya berlari menyebabkan dia akhirnya terlajak mendapat tempat pertama!

Akibat kemenangan itu, Ali gagal mendapatkan hadiah kasut sukan buat menggantikan kasut Zahra yang hilang. Justeru, bagaimanakah dia dapat menerangkan perkara itu kepada Zahra yang sedang menunggunya di rumah dengan penuh harapan?

Filem ini benar-benar mengesankan jiwa. Ali & Zahra seolah-olah sedang mencabar kita agar menjadi lebih hebat daripada mereka. Ali seolah-olah sedang membuktikan kepada kita, bahawa sesuatu itu pasti dapat dicapai dengan kesungguhan, kesabaran dan keikhlasan. Zahra juga seperti berpesan, bahawa hidup ini sangat singkat, dan janganlah dibazirkan masa dengan perkara yang tidak menyumbang apa-apa kebaikan.

Ali & Zahra, mereka berdua adalah lambang anak-anak islam yang berjiwa besar. Mempertaruhkan zaman kanak-kanak yang indah & riang untuk kelangsungan hidup yang dihimpit kemiskinan, kesusahan. Namun kasih sayang & ketabahan menjadi nilai kekuatan mereka meredah kesulitan dalam hidup. Mereka adalah Children Of Heaven!

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment